Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wbt..
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar...
Alhamdulillah kerana Allah masih lagi memberi peluang kepadaku untuk berkongsi sesuatu. Kutinggalkan seketika tugasan Sastera yang perlu dihantar pada Rabu ini. Menjengah ke ruang blog-blog untuk menceduk ilmu sebanyak yang mungkin.
Seawal pagi, kuliah telah pun bermula. Kembali kepada rutin biasa dengan masa yang masih tersisa selama sebulan sahaja lagi. Dalam kesibukan kuliah dan waktu senggang, aku sempat menjengah ke laman Langit Illahi yang seringkali menjadi kunjunganku untuk menceduk sedikit ilmu dan mata tertancap pada satu artikel "Sabar dalam Ujian Penentu Kejayaan dalam Kehidupan"
Kata orang, sabar itu terlalu mudah untuk diungkap buat mereka yang ditimpa ujian. Namun, hanya mereka yang mengalami ujian akan mengetahui bagaimana situasinya. Sabar terlalu mudah untuk dilafazkan, tetapi belum tentu dapat diaplikasikan dalam kehidupan manusia. Walau bagaimanapun, apabila kita pasakkan keyakinan kepada Allah bahawa setiap ujian dan dugaan yang menimpa diri kita pada akhirnya Allah kurniakan kemanisan, kita akan merasai bahawa indahnya nikmat sabar dalam ujian yang telah Allah berikan.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w daripada Abu Hurairah r.a:
“Barangsiapa yang Allah kehendaki akan memperoleh kebaikan maka Allah akan timpakan kepadanya musibah padanya baik yang mengenai tubuhnya atau hartanya atau apa-apa yang menjadi kekasihnya”.( HR Bukhari )
Secara hakikatnya, Allah menurunkan ujian buat manusia adalah untuk menentukan darjat di sisi-Nya. Aku juga tidak pernah terlepas diuji. Semakin banyak kita diuji, semakin tinggi darjat atau kedudukan kita di sisi Allah Taala. Tidakkah kita terfikir akan hal ini? Tidakkah difikir bahawa sebenarnya ujian yang telah diturunkan adalah sebagai tanda sayangnya Allah kepada kita dan tanda teguran Allah buat kita yang sering lalai mengejar kehidupan dunia? Allahuakbar..! Betapa bernilainya kita sebenarnya di mata Allah. Cuma kita sendiri yang kurang kesedaran atau terlupa. Seringkali ujian menimpa kita akan menyalahkan takdir dan seringkali juga kita akan mempertikaikan nasib kita.
Menyoroti sejarah kehidupan Rasulullah, kekasih Agung-Nya. Berapa kali baginda diuji? Dicaci. Dimaki dan seringkali disakiti? Namun pernahkan difikir, bukankan baginda seorang nabi? Yang lebih mulia daripada kita namun tetap bersabar dalam menerima ujian daripada Allah SWT? Lalu atas alasan apakah kita mempertikaikan ujian yang telah diturunkan oleh Allah buat kita? Atas alasan apakah kita seringkali mengeluh ujian yang tidak pernah berhenti menjenguk rongga kehidupan kita? Berfikir dan muhasabahlah seketika dan jadikan segala ujian dan dugaan yang telah Allah berikan sebagai satu kekuatan untuk kita terus menjalani kehidupan untuk mencari redha-Nya.
Justeru, kepada diri dan semua ini adalah peringatan bersama. Yakinlah bahawa ujian yang Allah turunkan bukanlah salah satu beban kepada kita sebenarnya. Sebagaimana firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 286 dimana Allah telah menyatakan bahawa Allah tidak akan menguji manusia melainkan sesuai dengan kesanggupan manusia untuk memikul ujian tersebut. Segalanya Allah telah tentukan. Jadi, berusahalah menjadi orang yang sentiasa sabar apabila ditimpa dugaan kerana semakin kerap manusia diberikan ujian, semakin sayang Allah pada kita.
*Aku masih belajar untuk menanam buah kesabaran. Walau kutahu hasilnya mengambil masa namun inilah usahaku. Allah, berkati dan redhailah setiap perjalanan hidupku untuk menuju redhaMu..
(Menceduk dan mengolah ilmu dalam artikel yang telah dipetik dari laman sesawang Langit Illahi karya Muiz bertajuk, Agama: Sabar Dalam Ujian Penentu Kejayaan Dalam Kehidupan)
(Menceduk dan mengolah ilmu dalam artikel yang telah dipetik dari laman sesawang Langit Illahi karya Muiz bertajuk, Agama: Sabar Dalam Ujian Penentu Kejayaan Dalam Kehidupan)
No comments:
Post a Comment