Assalamualaikum wbt..
Bismillahirrahmanirrahim...
Seringkali mendengar ayat ini "buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat." Namun, sejauh mana kebenaran kata-kata tersebut? Terpanggil saya untuk berkongsi satu artikel yang telah diambil daripada blog seorang junior saya. Terima kasih atas perkongsian bermakna ini. Sedikit suntingan dan penambahan telah dibuat dalam artikel ini. Moga ada manfaatnya...
Terkadang manusia sering berasa marah, kecewa dan hampa apabila kebaikan yang kita lakukan kepada seseorang tidak dihargai walaupun sekadar mengucapkan terima kasih. Itulah fitrah dan kelemahan seorang manusia, seringkali ingin diri dihargai walaupun kebaikan yang dibuat tidak setimpal dengan penghargaan yang perlu diberi..
Sebagai contoh, kita memberi bantuan dalam pelbagai bentuk kepada seseorang dan kita berharap agar ucapan terima kasih itu meniti di bibirnya. Jika tiada ucapan itu, maka hati halus akan berbisik,
" Dah bagi pinjam tak reti nak ucap terima kasih ke? "
atau
"Isk, buat penat je bagi pinjam, bukan tau nak berterima kasih pun."
Jangan berasa kecewa dan merajuk bila keadaan ini berlaku. Andai tiada ucapan hikmat itu meniti dibibir mereka jangan bimbang kerana sesungguhnya Allah tidak pernah leka dan terlepas pandang terhadap kebaikan yang dilakukan oleh hamba-Nya. Ganjaran pahala tetap akan dibalas. Jika tidak di dunia, kelak Allah pasti membalasnya di akhirat nanti. Kita sebagai insan yang lemah hanya perlu memperbetulkan niat agar melakukan sesuatu kebaikan itu ikhlas semata-mata kerana Allah.
Seperti yang kita sedia maklum, tabiat suka mengingkari, memperkecilkan nikmat merupakan penyakit lazim yang menimpa manusia. Nikmat kurnian Allah yang tidak pernah putus-putus dibalas dengan mengingkari perintahNya dan melakukan laranganNya. Itulah manusia. Apabila diberi nikmat tidak bersyukur, apabila tidak mendapatnya maka keluhanlah yang berlaku. Sesungguhnya, manusia itu lemah lagi melemahkan. Justeru, apa yang hendak dihairankan jika mereka tidak pernah menghargai kebaikan yang pernah kita berikan kepadanya.
Oleh itu, tanya pada diri, siapalah kita untuk mengungkit-ungkit secebis kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain berbanding kebaikan Allah kepada seluruh makhluk. Allah Maha Sabar dan Maha Pengasih. Allah terus-menerus mengurniakan nikmat walaupun kita sebagai hambaNya terus-menerus mengingkari perintahNya saban waktu.
Jadi buat semua muslimin dan muslimat, berlapang dada dan bersabarlah. Teruskan memberi kebaikan kepada orang lain walau pun tiada penghargaan, terima kasih dan balasan. Usah merasa gusar untuk memberi kebaikan kepada orang sekalipun kita tidak pernah dihargai walau secebis pun. Bersyukurlah kerana Allah memilih kita untuk melakukan kebajikan ketika orang lain melakukan kejahatan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk istiqamah melakukan jasa, bakti dan kebaikan kepada sesiapa sahaja semata-mata inginkan kemuliaan di sisi Allah di akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.” Riwayat Bukhari |
p/s: peringatan buat diri sendiri...
noktah,
nhmy1303.
No comments:
Post a Comment