Monday, 18 July 2011

Kasihnya Pada Mama, Sayangnya Pada Abah

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

MAMA. Wanita hebat itu tidak pernah mengalah. Bertali arus dugaan menimpa dirinya. Sabar dan tabah. Itu gambaran kepada sifat wanita bertubuh tinggi lampai yang saya begitu kagumi. Hari-harinya kini dihiasi dengan pelbagai aktiviti setelah 5 tahun berhenti kerja. Paginya dipenuhi dengan pengisian ilmu agama, petangnya pula aktiviti membersihkan rumah serta bercucuk tanam di tanah belakang rumah yang terbentang luas bersama suami tercinta. Malamnya, diisi pula dengan waktu rehat setelah pada siangnya penat bekerja. Saya kagumi kekuatan yang ada pada mama. Tangisnya, tawanya. Dan tabahnya mama saat ditimpa sakit yang tidak pernah ada hentinya kerana saya ada bersama mama saat sakitnya datang. 

Terimbau kisah pada suatu hari. Petang itu mama mengadu sakitnya pada abah. Dalam tidak sengaja, muntahnya terluah di lantai bilik. Allah... Saat itu, hanya saya yang mengetahui. Menyembunyikan rasa sebak dihati. Perlahan-lahan saya mengambil kain untuk mengelap kembali muntah tersebut. Tiada langsung perasaan geli, malah airmata ini umpama empangan pecah. 

"Beginilah mama menjaga aku dahulu.Segala sakitku, mama yang jaga" hati berbisik kecil

Bergegas saya dan abah ke hospital. Abah memandu umpama seorang pemandu tidak lagi kisah akan nyawanya. Kerana bimbangkan mama. Saya yang duduk bersebelahannya dapat merasakan perasaan bimbang itu. Setibanya di hospital, terlihat rasa resah abah apabila bilik rawatan kecemasan sudah dipenuhi orang. Saya pula menunggu di luar bersama mama yang tidak henti-henti mengadu sakit. Sekali lagi dihadapan mama saya menangis. Kerana tidak mampu lagi untuk melihat sengsaranya insan itu. Akhirnya, doktor memberikan suntikan supaya mama dapat tidur. Menyangka bahawa mama akan ditahan, namun, akhirnya doktor membenarkan mama pulang dalam keadaan sakit yang teramat.

ABAH. Saya tahu insan itu bagaimana. Walau tidak dapat diselami sekeping hati itu sedalamnya, namun saya tahu kasih sayangnya yang tidak pernah berkurang. Gigihnya mencari wang untuk menyara kami sekeluarga. Abah tegas orangnya. Marahnya terkadang menyinga namun tidak lama. Terimbau juga peristiwa lampau. Saya pernah dipukul dengan batang paip. Adik pula pernah diikat pada pokok. Namun saya tahu, itulah pengajaran yang terbaik kepada anak-anak. Lantas pada saat ini, tiada lagi rasa kisah apabila dimarah. Saya juga pernah lihat deritanya abah kerana satu peristiwa. Jatuh terduduk abah saat itu. Sedaya upaya saya menarik tangannya bersama adik-adik dan kakak dengan lingangan airmata. Di situ saya tahu, putus asa abah hampir tiba ke kemuncaknya. Namun, kami perlahan-lahan mencuba.  

SAYA. Seringkali airmata ini tumpah kerana mereka. Saat menulis ini juga sebak menguasai dada. Namun ditahan sedaya upaya. Tidak terluah pada lisan kata-kata saya sayang atau cintakan mereka. Hanya iringan doa yang mampu mengubat segalanya. Kerana saya sebagai anak perlu sentiasa bersama mereka. Saat suka dan duka. Dan saat mereka memerlukan seseorang untuk meluahkan segala masalah, bahu ini menjadi sandaran mereka. Semoga, khidmat sebagai seorang anak ini berterusan sehingga ke nafas terakhir saya. Semoga, nyawa ini ditarik dahulu sebelum mereka kerana tidak ada rasa kuat untuk kehilangan mereka buat selama-lamanya walau saya tahu, tiada yang kekal di dunia milik Allah ini.

"Ya Allah, hanya Engkau Yang Mengetahui perjalanan keluargaku. Bantulah kami Ya Allah. Berilah kami kekuatan saat didatangi ujian hidup daripadaMu kerana aku yakin betapa sayangnya Engkau pada kami. Lindungilah mama,abah, mimie,ajik, ayeh dan apit. Kerana tiada sesiapapun yang mampu menggantikan mereka dalam hidupku. Ampuni kami semua Ya Allah. Amin"

p/s: sekadar coretan rasa..

noktah,
nhmy1303.

Moga Diberi Ketetapan

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

Kembali tenang...Setelah seminggu mengalami kekalutan dalam hati. Setelah seminggu merunsingkan banyak hati. Lantas saya kembali berfikir.Kembali memuhasabah diri. Namun andai rasa itu bertandang lagi, hanya berserah pada Allah. Kerana hanya Dia yang bisa membuang dan mendatangkan kembali rasa itu. InsyaAllah kekuatan itu hadir saat ini. Moga diberi ketetapan...

Tidak mengharap pada rasa itu berulang kali. Kerana saya tahu semua ini adalah ujian daripadaNya.. Betapa hati perlu banyak berkorban. Usah bermain soal hati. Kelak bakal memusnah diri.. Doakan yang terbaik kali ini. 

Seringkali didatangi oleh hal itu tanpa dipinta. Usai berdoa memohon pada Yang Maha Esa, ia akan hadir kembali secara tiba-tiba. Telah daku merasainya sejak sekian lama. Namun aku tahu, inilah ujian daripadaNya. Diuji hati ini bukan untuk suka-suka, sebaliknya untuk menguji sejauh mana aku kerapkali berdoa dan meminta pertolonganNya..Moga aku tidak lupa. Untuk selalu berdoa dan meminta, tanpa rasa jemu dan hampa.Walau aku tahu, ianya akan berulang lagi..

noktah,
nhmy1303


Bilakah Bicara Ini Bisa Berakhir?

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

Bila berlaku perkara sebegini, lantas diri ingin menjadi diam kembali. Tanpa banyak bicara yang bisa menghancurkan banyak jiwa manusia. Tak mampu untuk berfikir dengan rasional lagi. Entah.... Benarlah kata-kata, diam itu lebih baik daripada berbicara. Telah dikaji hal ini semenjak semester lepas. Semester yang banyak mengajar diri tentang banyak perkara. Betapa banyak hati yang perlu dijaga hingga hati sendiri terpaksa terkorban tanpa sebarang penyembuhan sejak semester lalu. 

Ingin sahaja diam seribu bahasa. Bertutur hanya pada perkara yang mustahak sahaja. Ya Allah...ampuni hambaMu ini.. Dalam kegelapan malam ini aku memohon. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Aku serik pada kejadian yang lalu..Bantulah diri ini Ya Allah...amin..

Noktah,
nhmy1303...

Sunday, 17 July 2011

Terasa

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

Masih tahu diri ini siapa...
Masih kenal jalan redhaNya...
Masih punya rasa yang sama...
Masih takut pada perulangan dosa...

Ya Allah, dalam kerendahan hati, hanya Engkau Yang Maha Mengetahui.Tentang setiap langkah perjalanan hidup ini. Aku sedar akan dosa yang menggunung tinggi. Aku tahu akan dosa yang makin memakan  diri. Lantas, rasa ingin kembali itu ada, namun langkah perlaksanaan itu bagaimana? Tidak tahu pada titik mana harusku mula. Pada titik mana harusku akhirinya. Iman terkadang naik, terkadang sama dan terkadang menjunam jatuh ke bawah.. Hanya padaMu aku mengadu wahai Tuhan yang bisa membolak-balikkan hati ini.

Friday, 15 July 2011

Kebuntuan Hati

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

Selesai mengajar kelas Tahun 4. Saat kaki melangkah keluar dari kelas itu, hati terasa begitu sayu. Apakah yang telah berlaku? Berlegar-legar di kotak fikiran saya tentang sesi pengajaran sebentar tadi. Kurang berjaya pendekatannya. Objektif tidak tercapai. Lain yang dirancang, lain pula yang diajar. Saya menjadi serba salah. Terasa sebuah beban betul-betul jatuh terkena di kepala. Lantas kaki melangkah longlai menuju ke bilik guru. Berfikir.Sangat banyak kali ini. Seraya beristighfar kerana tidak menjalankan amanah dengan baik. Masa masih bersisa 6 minggu. Entah apa yang akan berlaku dalam tempoh masa itu. Terlalu lama rasanya. Bimbang mengajar anak orang salah ilmu, salah konsep dan salah semuanya. Allah... dan kali ini terlupa menerapkan nilai-nilai Islam dalam diri mereka!!! Apa yang telah berlaku kali ini diri? Dosa kian menimbun, adakah hendak menambah lagi dengan cara begini? Ya Allah......ampuni hambaMu ini...

noktah,
nhmy1303 

Hikmah Imam Malik Bin Anas

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

إنما أنا بشر أخطئ وأصيب فانظروا في رأيي فكل ما وافق الكتاب والسنة فخذوه وكل ما لم يوافق الكتاب والسنة فاتركوه

“Aku hanyalah seorang manusia, terkadang benar dan salah. Maka, telitilah pendapatku. Setiap pendapat yang sesuai dengan al-Quran dan sunnah nabi, maka ambillah. Dan jika tidak sesuai dengan keduanya, maka tinggalkanlah.” (Jami’ Bayan al-’Ilmi wa Fadhlih 2/32)

hak milik: google

Karnival Nasyid Kembali

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...


Sudah lama menantikan pertandingan nasyid ini. Saya telah mencari mengenai pertandingan ini awal tahun ini dengan harapan saya dapat mengikutinya. Lantas mendapat maklumat mengenai I-CON 11 anjuran IPG Kampus Ilmu Khas. Gembira bukan kepalang. Namun tahu kekangan praktikum yang menghimpit. Tersangat berharap agar dapat turut serta kerana saya memang gemarkan nasyid. Sudah terlepas banyak persembahan nasyid kerana lokasinya terlalu jauh dari  rumah. Sekadar menonton kembali di Youtube atau mendengar di corong radio sahaja. Sadis bunyinya. Kali ini terlalu mengharapkan untuk jasad ini berada di sana. Mungkin kali terakhir sebelum habis belajar tahun hadapan. Perkenankan doa ini Ya Allah... Terlalu berharap, namun terkadang harapan itu sukar untuk menjadi kenyataan.


layari laman sesawang ini untuk maklumat lanjut mengenai karnival ini.

Noktah,
nhmy1303.

Thursday, 14 July 2011

Day 5

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

Day 5
How much I hope,
this will end SOON...

courtesy of : google image

Wednesday, 13 July 2011

Hasrat Hati

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

Tenang. Itu yang mampu digambarkan. Hari ini merupakan hari pertama. Hanya di sekolah saya mampu untuk melakukannya. Telah saya sampaikan hasrat hati saya kepada rakan dan meminjam daripadanya. Allah hanya Dia Mengetahui betapa saya merasa lebih selamat. Percubaan itu berjaya. Cuma yang saya bimbangkan akan lahirnya perasaan lain dalam hati. Ya Allah. Minta dijauhkan. Ingin terus-terusan istiqamah.. Bila dah istiqamah, perangai pun harus diubah. Selaras dengan perkara yang saya lakukan itu.. Ingin mencubanya di IPG, namun niat itu harus dilupakan kerana tidak punya kekuatan. Namun, masa akan menentukan kelak. Mudah-mudahan.. Amin.. =)

noktah,
nhmy1303.

Perjalanan Semalam

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

Perihal semalam. Berjumpa doktor kerana demam masih belum kebah. Suara hilang sedikit-sedikit. Dan saat jumpa doktor sudah tahu bahawa duit juga akan melayang. Pasrah saja kerana memang akan berlaku begitu. Pulang dari klinik singgah ke Tesco. Membeli keperluan untuk praktikum. Melayang lagi duit di situ. Singgah ke kedai buku. Mata tertancap pada majalah PC edisi Julai. Namun sudah dikhatam seminggu yang lalu. Membelek-belek lagi. Namun tiada yang berkenan di hati melainkan majalah Laman Impiana. Teringat pada abah. Hendak dibeli atau tidak? Kemungkinan abah sudah mendapatkan edisi terbaru itu. Lupakan  niat itu.  Telefon mama dan bersembang itu ini. Terubat rindu. Saya tahu ada sesuatu yang menganggu fikirannya kerana kes kemalangan hari Sabtu yang lalu. Allah, beri kekuatan kepada mama abah.. Amin..


Perjalanan hidup ini sesungguhnya indah jika kita sendiri pandai untuk mencorakkannya. 
Namun, usah dilupa, semuanya aturan Allah Taala.
=)

Noktah,
nhmy1303.