Assalamualaikum wbt..
Bismillahirrahmanirrahim...
MAMA. Wanita hebat itu tidak pernah mengalah. Bertali arus dugaan menimpa dirinya. Sabar dan tabah. Itu gambaran kepada sifat wanita bertubuh tinggi lampai yang saya begitu kagumi. Hari-harinya kini dihiasi dengan pelbagai aktiviti setelah 5 tahun berhenti kerja. Paginya dipenuhi dengan pengisian ilmu agama, petangnya pula aktiviti membersihkan rumah serta bercucuk tanam di tanah belakang rumah yang terbentang luas bersama suami tercinta. Malamnya, diisi pula dengan waktu rehat setelah pada siangnya penat bekerja. Saya kagumi kekuatan yang ada pada mama. Tangisnya, tawanya. Dan tabahnya mama saat ditimpa sakit yang tidak pernah ada hentinya kerana saya ada bersama mama saat sakitnya datang.
Terimbau kisah pada suatu hari. Petang itu mama mengadu sakitnya pada abah. Dalam tidak sengaja, muntahnya terluah di lantai bilik. Allah... Saat itu, hanya saya yang mengetahui. Menyembunyikan rasa sebak dihati. Perlahan-lahan saya mengambil kain untuk mengelap kembali muntah tersebut. Tiada langsung perasaan geli, malah airmata ini umpama empangan pecah.
"Beginilah mama menjaga aku dahulu.Segala sakitku, mama yang jaga" hati berbisik kecil
Bergegas saya dan abah ke hospital. Abah memandu umpama seorang pemandu tidak lagi kisah akan nyawanya. Kerana bimbangkan mama. Saya yang duduk bersebelahannya dapat merasakan perasaan bimbang itu. Setibanya di hospital, terlihat rasa resah abah apabila bilik rawatan kecemasan sudah dipenuhi orang. Saya pula menunggu di luar bersama mama yang tidak henti-henti mengadu sakit. Sekali lagi dihadapan mama saya menangis. Kerana tidak mampu lagi untuk melihat sengsaranya insan itu. Akhirnya, doktor memberikan suntikan supaya mama dapat tidur. Menyangka bahawa mama akan ditahan, namun, akhirnya doktor membenarkan mama pulang dalam keadaan sakit yang teramat.
ABAH. Saya tahu insan itu bagaimana. Walau tidak dapat diselami sekeping hati itu sedalamnya, namun saya tahu kasih sayangnya yang tidak pernah berkurang. Gigihnya mencari wang untuk menyara kami sekeluarga. Abah tegas orangnya. Marahnya terkadang menyinga namun tidak lama. Terimbau juga peristiwa lampau. Saya pernah dipukul dengan batang paip. Adik pula pernah diikat pada pokok. Namun saya tahu, itulah pengajaran yang terbaik kepada anak-anak. Lantas pada saat ini, tiada lagi rasa kisah apabila dimarah. Saya juga pernah lihat deritanya abah kerana satu peristiwa. Jatuh terduduk abah saat itu. Sedaya upaya saya menarik tangannya bersama adik-adik dan kakak dengan lingangan airmata. Di situ saya tahu, putus asa abah hampir tiba ke kemuncaknya. Namun, kami perlahan-lahan mencuba.
SAYA. Seringkali airmata ini tumpah kerana mereka. Saat menulis ini juga sebak menguasai dada. Namun ditahan sedaya upaya. Tidak terluah pada lisan kata-kata saya sayang atau cintakan mereka. Hanya iringan doa yang mampu mengubat segalanya. Kerana saya sebagai anak perlu sentiasa bersama mereka. Saat suka dan duka. Dan saat mereka memerlukan seseorang untuk meluahkan segala masalah, bahu ini menjadi sandaran mereka. Semoga, khidmat sebagai seorang anak ini berterusan sehingga ke nafas terakhir saya. Semoga, nyawa ini ditarik dahulu sebelum mereka kerana tidak ada rasa kuat untuk kehilangan mereka buat selama-lamanya walau saya tahu, tiada yang kekal di dunia milik Allah ini.
"Ya Allah, hanya Engkau Yang Mengetahui perjalanan keluargaku. Bantulah kami Ya Allah. Berilah kami kekuatan saat didatangi ujian hidup daripadaMu kerana aku yakin betapa sayangnya Engkau pada kami. Lindungilah mama,abah, mimie,ajik, ayeh dan apit. Kerana tiada sesiapapun yang mampu menggantikan mereka dalam hidupku. Ampuni kami semua Ya Allah. Amin"
p/s: sekadar coretan rasa..
noktah,
nhmy1303.
No comments:
Post a Comment