Assalamualaikum wbt...
Bismillahirrahmanirrahim...
Rezeki, jodoh dan ajal maut tak siapapun tahu. Segalanya telah ditetapkan oleh Illahi sejak di Luh Mahfuz lagi. Kita hambaNya usah menyangkal pada segala ketentuanNya. Syukur dirafakkan pada Rabbul Izzati. Alhamdulillah pada setiap rezeki. Menerima perkhabaran tentang keputusan akhir peperiksaan cukup menyenakkan perutku. Aku sendiri sudah dapat menyangka akan keputusan sebelum waktu peperiksaan tiba lagi. Begitulah saban tahun. Aku mampu merasa. Namun, pada setiap rasa itu aku belajar untuk redha. Jika keputusannya tidak baik, maka aku perlu bersyukur. Itulah ujian buatku. Agar aku tidak lupa untuk terus-terusan meminta dan berdoa pada Allah Taala. Agar aku tidak melupakanNya saat aku menempah kejayaan. Itu sahaja yang aku pegang. Alhamdulillah. Allah tidak pernah melupakan aku sebagai hambaNya yang lemah ini. Cuma aku terkadang yang melupakanNya.. Ampuni aku Ya Allah.
Siapa sangka? Aku sendiri juga tidak. Namun itulah aku namakan sebagai rezeki Allah Taala. Keputusan itu sungguh aku tak jangka! Subhanallah. Hebatnya kasih sayang Allah pada hambaNya. Aku tergamam saat mengetahui keputusan itu. Tidak pernah mengharap kerana aku sendiri tahu apa yang aku jawab semasa peperiksaan yang lalu. Dan yang paling sadisnya untuk kertas terakhir aku tak mampu menjawabnya dengan baik. Lantas apabila tamat peperiksaan, aku menangis semahunya kerana tidak mampu untuk bertahan lagi. Dan kesibukan yang mencengkam beberapa minggu sebelum peperiksaan menjadikan aku kurang melakukan persiapan. Namun alhamdulillah. Aku dapat kedua-duanya. Kesibukan itu mengajar aku mengenal erti susah payah insan lain. Erti pengorbanan yang menuntut sebuah pengalaman hidup. Dan dek kesibukan itu, Allah gantikan aku dengan sebuah kejayaan.
Alhamdulillah..Alhamdulillah...Alhamdulillah. Kejayaan aku disambung dengan keputusan peperiksaan PMR adikku. Hanya satu sahaja yang B dan peningkatan akademik di sekolah tersebut serta peningkatan matapelajaran Sains yang diajar oleh abah di sekolah. Siapa sangka? Rezeki itu Allah akan beri sekelip mata. Cuma kita manusia tak tahu bila.
Justeru, andai belum tiba rezekinya, maka janganlah berputus asa. Allah sentiasa menunggu kita untuk berdoa dan terus berdoa. Allah tak perlukan kita, tetapi kita senantiasa perlukan Allah untuk meneruskan kehidupan di dunia ini. Dan rezeki, rezeki untuk setiap manusia itu tersangat berbeza. Jika bukan hari ini, insyaAllah akan muncul pada masa akan datang.
" Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." (ath-Thalaaq:2-3)
"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkann, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih." (surah Ibrahim:7)
2 comments:
Allah bagi kepahitan dulu,baru bagi kemanisan.Tiada spe sangka akan kuasa DIA yg mcm mne..DIA mampu ubah segalanya tnpe kte ketahui.trus berdoa..trus kuat..insyaallah.mge dipermudahkn..;-)
terima kasih.. a'ah kita tak tahu kan rezeki Allah nak bg.. =)
Post a Comment