Thursday, 28 July 2011

Hari Penuh Hiba

Assalamualaikum wbt..

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah hari dapat ke sekolah seperti biasa. Selepas semalam tidak dapat ke sekolah kerana asma kembali menyerang. Kaki melangkah perlahan lantaran tidak sembuh sepenuhnya lagi. Suara hari ini bagaikan tiada. Hati rungsing pagi itu. 'Bagaimana hendak mengajar anak murid kalau suara begini?"  Lantas saya mengambil cara untuk mengajar sekadar yang termampu.

Pagi ini sebelum masuk ke kelas telah merancang sesuatu. Saya berharap perkara itu berjaya. Jam 9.45 pagi, saya bergerak ke kelas tahun 4. Tajuk pengajaran hari ini berkisarkan tentang ibu. Ya ibu. Insan yang paling saya rindu saat ini. Usai set induksi dengan lagu Aeman-Buatmu Ibu, saya telah bertanya kepada murid-murid apakah yang mereka faham mengenai lagu tersebut. Ada yang berkata lagu itu menceritakan mengenai ibu dan lain-lain lagi. Jawapan yang mereka berikan semuanya benar belaka. Kerana mood hari ini sayu, maka saya terfikir untuk membaca surat yang pernah diberikan oleh seorang junior pada tahun lepas berkisarkan tentang luahan hati seorang anak tentang ibunya. 

Bacaan surat diiringi dengan muzik latar yang sangat menyentuh jiwa iaitu muzik Yiruma-Silk Road. Perlahan-lahan saya membaca surat itu dan meminta murid-murid untuk memejamkan mata mereka. Pada perenggan pertama saya telah sebak. Cuba sedaya upaya untuk menahan diri daripada menangis. Apabila bacaan disambung, ramai murid yang mula menangis dan saya juga menjadi semakin  sebak. Terbayang wajah mama saat itu. Alhamdulillah pengajaran hari ini berjaya menimbulkan rasa insaf dalam diri mereka. Itulah perkara yang saya cuba terapkan. Penerapan nilai-nilai murni sekaligus nilai Islam itu sendiri. Moga semua itu menjadi peringatan buat mereka. 

Terima kasih yang tak terhingga buat insan yang pernah memberikan saya teks ini suatu masa dahulu. Saya benar-benar hargai dan teks itu akhirnya menjadi sebagai salah satu bahan untuk memberi kesedaran kepada anak murid saya kini. 


Noktah,
nhmy1303

No comments: